Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh. Foto fail, Jabatan Penerangan Malaysia.

11 sekolah di pedalaman Sarawak bakal dilengkapi bekalan air telaga tiub, siap menjelang 2025

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Sebanyak 11 sekolah di pedalaman Sarawak bakal menerima bekalan air menerusi telaga tiub baharu tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak serta Jabatan Kerja Raya (JKR) wilayah berkenaan untuk melaksanakan inisiatif berkenaan.

Jelas beliau peruntukan sebanyak RM94.5 juta disediakan bagi pembinaan dan pemasangan sistem bekalan air telaga tiub di sekolah pedalaman Sabah dan Sarawak sejak 2021.

“Menerusi projek berkenaan, sebanyak 90 buah sekolah telah dikenal pasti iaitu 79 di Sabah dan 11 buah di Sarawak.

“Pembinaan sedang dilaksanakan dengan purata kemajuan fizikal projek bagi 64 buah sekolah telah mencapai 59.85 peratus yang dijangka akan siap tahun ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Larry Sng Wei Shien (Parti Bangsa Malaysia – Julau) yang ingin tahu langkah-langkah KPM memastikan bekalan air bersih disalurkan ke sekolah-sekolah luar bandar, khususnya yang masih belum mempunyai akses kepada sumber air bersih.

Tambah Kah Woh, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menetapkan bahawa setiap sekolah tanpa mengira lokasi atau saiz, perlu memiliki infrastruktur asas yang mencukupi bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.

“Sehingga tahun lepas, sebanyak 117 buah sistem telaga tiub sekolah luar bandar Sabah dan Sarawak telah dikeluarkan dari senarai penyelenggaraan dan dilupuskan berikutan sekolah telah disambungkan ke bekalan air bersih awam atau sekolah telah ditutup atau berpindah.

“Manakala, 302 buah sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak masih bergantung kepada sistem telaga tiub, yang kini diselenggara secara berkala melalui Kontrak Projek Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Telaga Tiub Sekolah-Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak, yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan pada tahun lepas juga, kerajaan telah memperuntukkan RM30.6 juta untuk menyelenggara sistem berkenaan dan jumlah tersebut akan dinaikkan kepada RM40 juta pada 2025.- TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan