KUCHING, 4 Mac: Kerajaan Sarawak komited dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air dan elektrik untuk rakyatnya, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Katanya, dengan kerjasama antarabangsa, khususnya dengan pakar-pakar dari Belanda, usaha ini semakin maju melalui perkongsian kepakaran dalam pengurusan sumber air dan tenaga.
“Perbincangan terbaru membabitkan peranan penting negara Belanda, yang telah terlibat dalam meningkatkan kualiti bekalan air dan elektrik di empat kawasan utama dunia, termasuk Sarawak.

“Pakar-pakar dari Belanda dijangka akan menyertai dalam persidangan antarabangsa yang akan diadakan di Kuching dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner di pejabatnya, di sini, hari ini.
Selain itu, kata Dr Abdul Rahman lagi, melalui kerjasama ini, kerajaan Sarawak berjaya membangunkan projek dan penyelesaian inovatif bersama sektor swasta, yang turut membawa manfaat kepada pembangunan infrastruktur negeri.
Tambahnya, Malaysia Water Association cawangan Sarawak turut terlibat dalam pelbagai perbincangan untuk memastikan kepakaran ini dapat diterapkan dalam sistem bekalan air dan elektrik di seluruh Sarawak.
Tegasnya, kerajaan Sarawak menegaskan komitmennya dalam memanfaatkan teknologi dan kepakaran antarabangsa untuk menyediakan bekalan air dan elektrik yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak. – TVS