KUCHING, 4 Mac: Sarawak akan menjadi pusat serantau untuk pendidikan dan penyelidikan angkasa sekali gus menarik kerjasama global dan pengembangan bakat tempatan dalam bidang tersebut.
Menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) Pembangunan Industri Angkasa Sarawak, Ventrix Borneo Sdn Bhd (Ventrix Borneo) dan Pengurusan Infrakop Sdn Bhd (Infrakop) optimis untuk memacu pembangunan industri angkasa lepas Sarawak.
Pengerusi Ventrix Borneo, Abang Abdul Rahman Hamid berkata, kerjasama ini berhasrat untuk menyertai dan memberi sumbangan kepada Inisiatif Angkasa Sarawak, serta memastikan komitmen kedua-dua pihak selepas memasuki industri Penerbangan Angkasa di Sarawak.
“MOU ini juga merangkumi kerjasama dalam pendidikan, kepakaran, mencipta peluang pekerjaan selain menawarkan teknologi yang paling sesuai dalam industri angkasa.
“Inisiatif ini dijangka dapat memberikan manfaat besar kepada negeri Sarawak dengan memperkenalkan peluang dalam bidang angkasa serta memperkukuhkan lagi asas pengetahuan dan kemahiran dalam industri yang berkembang pesat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Abdul Rahman, program ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor angkasa serta memberi pendedahan dan peluang pendidikan yang luas kepada golongan muda di Sarawak.
Tambahnya, kerjasama ini akan memberi impak yang positif dalam memperkenalkan Sarawak sebagai pusat aktiviti penerbangan angkasa sambil mengembangkan teknologi terkini dalam sektor ini.
“Ventrix Borneo adalah penyedia penyelesaian infrastruktur komunikasi yang menawarkan produk dan perkhidmatan inovatif untuk memenuhi keperluan rangkaian selular, tetap dan jalur lebar.
“Sebagai organisasi yang berkembang pesat, syarikat milik anak Sarawak ini mempunyai kemampuan untuk merancang, merekabentuk, melaksanakan, mengintegrasi, menyelenggara,mengurus, memantau, menyokong dan mengoptimumkan sistem komunikasi di seluruh Malaysia,” katanya.
Menerusi kerjasama itu juga, katanya, pihaknya berharap pembangunan ekosistem industri angkasa yang komprehensif, yang mengintegrasikan infrastruktur, teknologi dan kesiapsiagaan tenaga kerja, akan memberikan manfaat besar kepada Sarawak.
“Pengembangan telekomunikasi di seluruh negeri termasuk di kawasan luar bandar dan yang kurang mendapat perkhidmatan akan memberi impak yang signifikan kepada rakyat Malaysia.
“Dengan sokongan pelaburan antarabangsa dan pemain industri, Sarawak akan semakin kukuh sebagai peneraju dalam sektor angkasa dengan proses peraturan yang dipermudahkan untuk memastikan pematuhan kepada piawaian angkasa antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, wakil dari Infrakop Dr Gobaind Naidu berkata, usahasama tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan sekurang-kurangnya 1,000 kekosongan dalam sektor angkasa dan memberi peluang pendidikan untuk belia di negeri tersebut.
Katanya, beliau turut mengharapkan agar kerjasama jangka panjang ini dapat membawa perubahan yang besar kepada Sarawak terutama dari segi pembangunan ekonomi setempat. – TVS