GOMBAK, 4 Mac: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu, dan Selangor kini mencapai kemajuan 79 peratus.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi pembinaan Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak pula, ia dijadualkan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
“Saya gembira melihat struktur pembinaan berjalan dengan baik. Kita baru sahaja menyaksikan majlis pecah tanah pada bulan Jun tahun lepas, jadi kurang daripada sembilan bulan dari tarikh tersebut, kita melihat perkembangannya baik sekali.
“Saya diberitahu ia akan siap pada akhir tahun ini,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan pemberita mengenai jarak antara Stesen ECRL Terminal Gombak dan LRT Gombak, Loke berkata ketersambungan antara kedua stesen itu sejauh 79 meter, manakala bagi TBG pula sekitar 100 meter.
“Sekarang ini, apa yang kita mahu lakukan ialah meningkatkan pengalaman pengguna. Oleh sebab itulah, sebabnya kami banyak memberi perhatian kepada ketersambungan antara ketiga-tiga stesen ini,” katanya.
Untuk rekod, ECRL sepanjang 665km yang bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang akan melibatkan 20 stesen iaitu 10 stesen penumpang sahaja dan 10 lagi stesen yang menggabungkan pengangkutan barang dan penumpang. – TVS