KUALA LUMPUR, 4 Mac: Sarawak mencatat satu lagi pencapaian penting dalam industri minyak dan gas negara apabila Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) secara rasmi mengambil alih peranan sebagai agregator gas tunggal di wilayah itu, berkuatkuasa 1 Mac 2025.
Ahli Dewan Negara, Dato Ahmad Dato Sri Ibrahim, menyifatkan peralihan ini sebagai satu langkah strategik yang memperkasakan hak dan kawalan sumber asli Sarawak, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA).
“Ini bermakna PETROS kini bertanggungjawab sepenuhnya dalam pengurusan gas asli di Sarawak termasuk penyimpanan, pengagihan dan penjualan gas kepada pengguna.
“Namun, peranan PETRONAS dalam sektor huluan dan hiliran masih dikekalkan,” katanya ketika membahaskan Perbahasan Titah Diraja 2025 di Dewan Negara, hari ini.
Menurut Ahmad, pindaan terhadap Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) memberi kuasa lebih besar kepada Sarawak dalam mengawal selia industri minyak dan gas di wilayah itu.
Beliau menegaskan bahawa kesepakatan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan ordinan yang dipinda ini memberi isyarat jelas bahawa Sarawak kini mempunyai kawalan lebih kukuh terhadap pengagihan gas di wilayahnya.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh ekonomi Sarawak tetapi juga memastikan perkongsian hasil yang lebih adil antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
“Malah, ia akan mempercepatkan pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap yang bertujuan menjadikan Sarawak sebagai hab gas utama di rantau ini,” katanya.
Selain itu, Ahmad turut menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama antara PETRONAS dan PETROS akan memperkukuhkan industri minyak dan tenaga baharu di Malaysia.
“Dengan kesepakatan ini, kita mesti terus bergerak ke hadapan untuk memastikan pembangunan di Sarawak tidak ketinggalan, sambil memakmurkan negara secara keseluruhan,” katanya.
Peralihan peranan PETROS sebagai agregator gas tunggal ini dimuktamadkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam sesi penerangan di Dewan Rakyat pada 17 Februari lalu.
Beliau turut memberi jaminan bahawa segala obligasi perjanjian domestik dan antarabangsa PETRONAS akan dikekalkan, selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan industri minyak dan gas negara terus berkembang secara mampan. – TVS