BARCELONA, 4 Mac: Pembangunan di Sarawak sedang berkembang pesat ke arah ekonomi yang dipacu teknologi, sekali gus membuka peluang baharu untuk sektor perniagaan dan keusahawanan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kerajaan Sarawak giat memperluas infrastruktur digital dengan menekankan kepada pelaburan dalam 5G, pengkomputeran awan dan internet berkelajuan tinggi untuk meningkatkan penggunaan digital di wilayah tersebut.
“Sarawak memiliki rangkaian ketersambungan pada tahap yang baik melalui kabel dasar laut, bagi memastikan sambungan internet berkelajuan tinggi untuk kegunaan di dalam perniagaan dan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sarawak Pavilion sempena Mobile World Congress (MWC) 2025 di Fira Gran Via di sini pada Isnin.
Jelas Uggah, Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) yang dilaksanakan juga bertujuan untuk merapatkan jurang digital dan memastikan akses digital yang saksama dapat dinikmati semua rakyat.
“Sarawak mempunyai lokasi strategik, sumber yang banyak dan mengamalkan dasar mesra perniagaan serta menjadikannya destinasi yang menarik untuk menjadi pilihan para pelabur, inovator dan perusahaan global,” tambahnya.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Sarawak Pavilion yang dilancarkan itu menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak mengutamakan transformasi digital dan inovasi.
“Kewujudan pavilion ini mempamerkan inisiatif utama dan peranan para pemain industri dalam memacu ekonomi digital Sarawak ke hadapan,” jelasnya.
Tambahnya, usaha itu selari dengan matlamat kerajaan untuk meletakkan Sarawak sebagai wilayah ekonomi digital berpendapatan tinggi dan mampan dengan memanfaatkan teknologi moden serta perkongsian strategik.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri. – TVS