BARCELONA, 4 Mac: Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 merupakan pelan strategik yang direka oleh SMD Semiconductor bagi memacu kemajuan teknologi, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, dan meningkatkan sektor semikonduktor Sarawak di peringkat global.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Jamil, pelan yang memberi tumpuan kepada beberapa langkah strategik itu mampu menyediakan rangka kerja yang lebih komprehensif untuk memacu inovasi, memperkukuh keupayaan pembuatan domestik, serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan masa depan industri.

“Antara objektif utama pelaksanaan pelan hala tuju ini ialah untuk meningkatkan kredibiliti industri di Sarawak yang masih berpandukan sektor pembuatan tradisional, bekerja secara manual dan kurang memberi penekanan kepada kemahiran tinggi.
“Justeru, kita (SMD Semiconductor) memainkan peranan penting untuk menggerakkan industri tempatan di Sarawak kepada rantaian bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas membuat pembentangan berkenaan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 dan demonstrasi protaip teknologi penukaran tenaga dari kebolehupayaan kecerdasan buatan (AI) ‘Ultra Edge’ yang tercanggih di dunia, bersempena Pelancaran Sarawak Pavilion di Mobile World Congress (MWC) 2025 bertempat di Fira Gran Via, Barcelona pada Isnin.
Jelas Shariman, SMD mahu menjadi antara pengasas teknologi tinggi semikonduktor dan reka bentuk cip melalui kerjasama dengan pemain industri global sekaligus membangunkan industri tempatan di wilayah ini.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami berhasrat untuk menjadi rakan kongsi kepada lebih 10 pemain utama industri dan menyediakan 3,000 peluang pekerjaan melalui pelan ini.
“Sekarang kita memfokuskan kepada kerjasama dan perkongsian yang melibatkan pemain industri dari United Kingdom, dan negara Eropah dalam industri semikonduktor.
Sementara itu, mengenai teknologi penukaran tenaga dari kebolehupayaan kecerdasan buatan (AI) “Ultra Edge’ yang tercanggih di dunia, Shariman menjelaskan bahawa teknologi AI telah mengubah industri di seluruh dunia yang membawa kepada peluang dan cabaran pada isu ketersediaan pusat data yang semakin meningkat dan pengurusan tenaga grid.
“SMD Semiconductor percaya kewujudan ‘Ultra Edge’ ini akan mengubah landskap revolusi AI.
“Kami turut berhasrat untuk menggunakan teknologi seperti ini di Sarawak dan di peringkat dunia,” jelasnya.
Tambahnya, SMD sedang meneliti aplikasi tentang pendekatan yang sesuai untuk meningkatkan prestasi dan pengurusan grid.
“Kita juga akan berkerjasama rapat dengan agensi-agensi tempatan seperti Sarawak Energy Berhad (SEB), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), pemain industri hidrogen serta aeroangkasa. -TVS