LUNDU, 4 Mac: Kakitangan sedia ada MASwings akan diberi keutamaan dalam peralihan ke syarikat penerbangan baharu, AirBorneo seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, hanya mereka yang tidak mahu menyertai AirBorneo akan dikecualikan dan sebarang kekosongan jawatan akan diisi oleh pemohon dari luar.
“Jumlah kakitangan yang akan diserap melebihi 300 orang, tetapi saya masih belum mempunyai angka sebenar. Jika mereka tidak mahu menyertai kita, barulah kita boleh merekrut (orang) dari luar.
“Jika ada kekosongan dan syarikat penerbangan lain ingin memohon, mereka boleh menyertai dan memohon. Setakat ini, kita mesti mengambil semua kakitangan sedia ada,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecermelangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini, hari ini.
Jelas beliau, satu pertemuan antara Malaysia Avation Group (MAG) dengan syarikat penerbangan MASwings akan diadakan pada Mac ini bagi membincangkan berkaitan.
“Saya bercadang untuk mengadakan satu pertemuan antara kakitangan Malaysia Aviation Group (MAG) dengan MASwings. Saya akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini,” katanya. – TVS