KUCHING, 4 Mac: Juh Berambeh Sungkei Kuching 2025 anjuran bersama oleh Kelab Belia Proaktif dan Borneo Glamping menyasarkan kehadiran seramai 3,000 pengunjung selepas merekodkan lebih 2,000 pengunjung memeriahkan acara tersebut pada tahun 2024.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata edisi ketiga program bertemakan ‘Youth in Sustainability and Iftar in Unity’ ini akan diadakan di Padang Merdeka pada 15 Mac depan.
“Terdapat sedikit kelainan pada penganjuran Juh Berambeh Sungkei Kuching pada tahun ini iaitu pihak kementerian yang sebelum ini menganjurkannya, memberi ruang kepada Kelab Belia Proaktif untuk menerajui bersama-sama dengan agensi lain termasuk Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Ia bertujuan bagi menyemarakkan lagi sambutan dan merasai kemeriahannya, selain untuk mengeratkan silaturrahim dan merapatkan hubungan antara masyarakat majmuk berlainan bangsa dan agama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Abdul Karim, antara fasiliti yang disediakan pihak penganjur untuk kemudahan para pengunjung termasuk stesen pengecaj solar serta tempat mengambil wuduk dan ruang solat.
Dalam usaha memastikan inisiatif kelestarian dilaksanakan selepas menganjurkan sebarang acara keramaian, para penganjur serta pengunjung yang hadir akan bersama-sama terlibat dalam pengumpulan botol mineral sebagai salah satu usaha menyemai budaya kesedaran.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi lain termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Pejabat Residen Kuching dan UNIFOR yang turut bekerjasama bagi menjayakan acara ini.
Orang ramai tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama, dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan Juh Berambeh Sungkei itu nanti. – TVS