KUALA LUMPUR, 4 Mac: Kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pencarum beragama Islam menyertai simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meskipun dividen bagi kedua-dua skim, konvensional dan syariah, mencatat kadar yang sama iaitu 6.30 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ini merupakan satu petanda positif yang dapat menggalakkan pencarum beragama Islam untuk beralih kepada simpanan syariah secara sukarela.
“Alhamdulillah, pengurusan KWSP mencatatkan buat pertama kalinya dividen yang sama antara konvensional dan syariah.
“Sebelum ini, kita dikritik dan disergah mengenai perkara ini, malah ada yang bimbang bahawa dividen syariah akan lebih rendah dan kedua-dua persoalan ini kini telah terjawab,” katanya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, rekod dividen ini secara tidak langsung akan menjadi galakan kepada pencarum beragama Islam untuk mempertimbangkan simpanan syariah, namun kerajaan tidak akan mewajibkan peralihan tersebut.
“Sebaliknya, pendekatan yang diambil adalah menerusi siri penerangan dan penjelasan mengenai perbezaan antara kedua-dua skim.
“Umat Islam patut diberikan penjelasan mengenai erti dan perbezaan antara simpanan konvensional dan syariah, seperti konsep perbankan tanpa faedah dan instrumen kewangan patuh syariah yang diperkenalkan. Malaysia kini diiktiraf sebagai antara negara yang paling ke hadapan dalam bidang ini, namun saya akui beberapa langkah lagi perlu diambil oleh KWSP,” jelasnya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengakui bahawa keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi MADANI menjadi faktor utama yang mendorong pencapaian dividen yang tinggi bagi tahun 2024.
Beliau mendedahkan bahawa setakat Disember 2024, sebanyak 63 peratus jumlah aset KWSP berada dalam pasaran domestik, berjumlah RM780 bilion, mencatat pertumbuhan sebanyak 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini juga dipacu oleh keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi MADANI, yang berjaya mencapai 51 peratus lebih tinggi daripada unjuran yang dibuat tahun sebelumnya.
“Bursa Malaysia turut menunjukkan pertumbuhan sebanyak 12.9 peratus, satu peningkatan yang besar,” katanya.
Selain itu, Anwar turut menegaskan bahawa beberapa langkah reformasi institusi seperti Akta Kewangan dan Akta Tanggungjawab Fiskal juga telah menarik minat pelabur, sekaligus memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara.
Pencapaian ini, menurut Perdana Menteri, akan terus menjadi asas kepada hala tuju ekonomi negara, dengan lebih banyak pembaharuan bakal diperkenalkan bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan kukuh. – TVS