KUALA LUMPUR, 4 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang kelonggaran tambahan terhadap pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diteliti dengan berhati-hati bagi mengelakkan pencarum menghadapi kesulitan kewangan selepas bersara.
Katanya, prinsip asas KWSP sebagai simpanan hari tua harus dikekalkan, dan membuka ruang pengeluaran terlalu luas boleh memberi kesan negatif kepada pencarum dalam jangka panjang.
“Bila pencarum melihat dividen 6.3 peratus, mereka sedar bahawa simpanan ini akan memberi pulangan lumayan kepada mereka. Pada masa yang sama, KWSP telah mengeluarkan kenyataan bahawa majoriti pencarum, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu, mempunyai simpanan yang sangat kecil.
“Jika ruang pengeluaran terlalu terbuka, ia boleh menimbulkan masalah besar dalam beberapa tahun akan datang apabila mereka bersara,” katanya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut mengingatkan bahawa sejak beliau menjadi Menteri Kewangan beberapa dekad lalu, prinsip KWSP adalah untuk memastikan kesejahteraan pencarum selepas bersara dan bukan sekadar penyelesaian kewangan jangka pendek.
Beliau mengakui bahawa terdapat keperluan untuk memberikan pengecualian dalam keadaan tertentu, terutama bagi kes yang benar-benar mendesak seperti masalah kesihatan.
Namun, kelonggaran menyeluruh boleh memberi kesan negatif kepada pencarum yang tidak mempunyai sumber pendapatan lain selepas bersara.
“Kerajaan perlu mencari keseimbangan antara menyelesaikan masalah kewangan segera dan memastikan pencarum tidak dihukum atau dibiarkan dalam keadaan sukar selepas bersara.
“Jika terlalu banyak ruang pengeluaran diberikan, kita sebenarnya sedang ‘menghukum’ mereka dalam jangka panjang,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa kerajaan dan KWSP akan terus mempertimbangkan kes-kes tertentu yang memerlukan perhatian khas, seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Padang Terap.
“Saya percaya KWSP boleh memberikan pertimbangan seperti yang mereka lakukan sekarang dalam kes-kes yang benar-benar mendesak, walaupun ia di luar prosedur biasa,” katanya.
Beliau memberitahu, kerajaan akan terus memastikan dasar KWSP dilaksanakan dengan keseimbangan yang wajar, bagi memastikan keperluan pencarum dipenuhi tanpa menjejaskan simpanan hari tua mereka. – TVS