Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan terus komited dalam usaha meningkatkan keupayaan sungai bagi menangani risiko banjir di Sarawak menerusi pelaksanaan beberapa projek pemuliharaan dan pengerukan sungai yang bernilai jutaan ringgit. Foto hiasan Envato

Dewan Negara: PETRA peruntuk RM51.5 Juta untuk pemuliharaan sungai di Sarawak

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Kerajaan terus komited dalam usaha meningkatkan keupayaan sungai bagi menangani risiko banjir di Sarawak menerusi pelaksanaan beberapa projek pemuliharaan dan pengerukan sungai yang bernilai jutaan ringgit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memperuntukkan RM51.5 juta di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk dua projek utama di wilayah tersebut.

“Projek yang disenaraikan adalah pemuliharaan Muara Batang Kemena di Bintulu dan Muara Sungai Trusan di Limbang.

“Skop utama projek ini melibatkan kerja-kerja mendalamkan sungai bagi meningkatkan kapasiti aliran air, terutama semasa musim hujan,” katanya ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Abun Sui Anyit, yang ingin tahu langkah-langkah dan perancangan tebatan banjir untuk mengurangkan keadaan banjir buruk yang semakin menjadi-jadi dan teruk, sehingga menenggelamkan banyak rumah seperti di Sungai Trusan, Sungai Kemena, dan Sungai Miri di Sarawak, yang muaranya semakin cetek, di Dewan Negara hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa PETRA, melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), akan mengemukakan permohonan tambahan sebanyak RM16.6 juta di bawah Rolling Plan 2 (RP2) RMK-13 bagi projek pemuliharaan Muara Sungai Miri yang melibatkan kerja pengerukan sungai.

Selain itu, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri sedang giat dilaksanakan dengan kos RM31 juta, merangkumi kawasan Lutong, Krokop, dan Jalan Jee Foh.

“Setelah siap, projek ini dijangka akan melindungi lebih 5,000 penduduk daripada risiko banjir serta mengurangkan keluasan banjir seluas 600 hektar,” jelas Fadillah.

Fadillah berkata, kerja-kerja fizikal projek itu telah bermula pada Oktober 2023 dan kini mencatat kemajuan sebanyak 28.16 peratus.

Tambahnya, ia dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2026.

Bagi penyelesaian jangka pendek, JPS turut melaksanakan pelbagai kerja pemuliharaan sungai dengan peruntukan berjumlah RM37.8 juta sejak 2022 hingga 2024.

Peruntukan itu merangkumi 360 projek kecil seperti pengaluran sungai, penstabilan tebing, dan menaik taraf sistem saliran bagi meningkatkan kualiti air sungai.

Tahun ini, RM13.1 juta lagi diperuntukkan untuk projek serupa di seluruh Sarawak.

Beliau turut memberitahu, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha mitigasi banjir dan pemuliharaan sungai bagi memastikan kesejahteraan penduduk Sarawak serta kelestarian ekosistem sungai di Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan