LUNDU, 4 Mac: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu bakal menawarkan kursus latihan untuk kru kabin penerbangan, susulan pengambilalihan syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak, Air Borneo.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif tersebut bertujuan melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dalam bidang berkaitan penerbangan termasuk latihan pengendalian darat.
“Saya baru sahaja berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS (Datuk Sayeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman) di mana kursus seterusnya akan melibatkan latihan kru kabin. Ia juga termasuk dengan latihan pengendalian darat.
“Pramugara atau pramugari perlu menjalani latihan intensif serta memperoleh pensijilan sebelum layak bertugas sebagai kru kabin.
“Apabila mereka lulus peperiksaan yang ditetapkan, jadi mereka boleh memulakan kerjaya dalam industri penerbangan, khususnya dengan Air Borneo,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai operasi syarikat penerbangan Air Borneo, beliau menyatakan bahawa syarikat tersebut kini sedang melalui fasa peralihan dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan.
Jelas beliau, syarikat Air Borneo perlu memperoleh kelulusan peraturan dan lesen di peringkat antarabangsa serta nasional sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.
“Pada masa ini, Air Borneo masih beroperasi di bawah MASwings sehingga semua kelulusan rasmi diperoleh, termasuk lesen serta pematuhan peraturan berkaitan untuk beroperasi dengan logo dan identiti korporat tersendiri,” katanya.-TVS