OSAKA, 4 Mac: Guinness World Records secara rasmi mengiktiraf Grand Ring, ciri seni bina utama di Ekspo Dunia 2025 di Osaka, barat Jepun, sebagai struktur seni bina kayu terbesar di dunia.
Dengan keluasan melebihi 61,000 meter persegi, bumbung gergasi itu menjadi simbol acara global selama enam bulan yang dijadual bermula pada 13 April 2025, lapor agensi berita Kyodo berdasarkan pengesahan pihak berkuasa global mengenai rekod dunia.
Bercakap pada majlis penyampaian anugerah, arkitek di sebalik pembinaan struktur itu, Sosuke Fujimoto berharap simbol ekspo itu dapat menyampaikan mesej tentang kepentingan memupuk perpaduan dalam dunia yang semakin berpecah-belah.
Siap sepenuhnya pada 27 Februari, karya seni bina itu menggambarkan falsafah ekspo, Perpaduan dalam Kepelbagaian.
Struktur setinggi 20 meter dengan lilitan kira-kira dua kilometer itu dibina menggunakan kira-kira 27,000 meter padu kayu, termasuk pokok sipres dan cedar Jepun serta pain merah Eropah, menurut penganjur ekspo. – TVS