NEW YORK, 4 Mac: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) menyatakan hampir 260,000 kanak-kanak dari Semenanjung Gaza telah mendaftar dalam program pembelajaran jarak jauh sejak Januari tahun ini, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Dalam hantaran di platform X pada Selasa, UNRWA menyatakan bahawa pasukan kesihatan UNRWA “terus memberikan sokongan kesihatan mental dan psikososial di kawasan tengah dan Khan Younis.”
UNRWA juga menekankan bahawa pihaknya “membantu kes-kes khas yang dirujuk dari pusat kesihatan dan tempat perlindungan.”
Agensi itu menyatakan bahawa “sejak gencatan senjata, pasukan UNRWA telah menangani lebih 15,000 kes,” yang membolehkan ribuan orang yang kehilangan tempat tinggal kembali ke kawasan kediaman mereka dan rumah yang musnah.
Pada 23 Februari, sesi persekolahan baharu bermula di Semenanjung Gaza di tengah-tengah cabaran besar akibat serangan genosid yang dilancarkan oleh Israel ke atas enklaf itu.
Secara khusus, 95 peratus bangunan sekolah dan pendidikan mengalami pelbagai kerosakan manakala 85 peratus daripadanya tidak dapat digunakan kerana musnah sepenuhnya atau separa akibat serangan genosid itu. – TVS