KUCHING, 2 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan keluarga meluangkan masa mengunjungi Bazar Ramadan Stutong hari ini.
Ketibaan kedua-duanya disambut oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng.
Kehadiran mereka mencuri perhatian pengunjung dan peniaga dan turut mengambil kesempatan beramah mesra serta bergambar bersama.
Ketika lawatan itu, Tun Wan Junaidi dan Toh Fauziah dilihat membeli pelbagai juadah seperti kambing bakar, berbola daging, dan sate buntut ayam, sambil beramah mesra dengan para peniaga serta pengunjung.
Bazar Ramadan Stutong, dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), menempatkan sebanyak 160 gerai – menawarkan pelbagai juadah tempatan dan antarabangsa.
Sebagai salah satu bazar Ramadan terbesar di Kuching, bukan sahaja menyediakan pelbagai hidangan berbuka puasa tetapi juga menjadi platform usahawan tempatan untuk menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan.
Sejak mula dianjurkan, bazar ini terus menarik ribuan pengunjung setiap tahun, mencerminkan kepelbagaian budaya serta keharmonian masyarakat di Sarawak.-TVS