SEBAUH, 2 Mac: Pembangunan Kompleks Sukan Sebauh yang dimulakan hari ini bakal menjadi mercu tanda baharu dan platform utama bagi pembangunan sukan di Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, projek yang dijangka siap pada 30 Julai 2026 itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa.
“Ia termasuk trek balapan sintetik 400 meter dengan lapan lorong mengikut piawaian Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dan padang bola sepak yang mematuhi piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Selain itu, kompleks ini turut menampilkan astaka besar lengkap dengan tempat duduk, bilik persalinan, tandas lelaki dan wanita serta bilik utiliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut disediakan kemudahan olahraga lain seperti lompat jauh, lompat tinggi, lontar peluru, merejam lembing, lompat bergalah serta lempar cakera dan tukul besi.
Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu berkata, apabila siap kelak, kompleks sukan ini bukan sahaja menjadi pusat pembangunan bakat atlet tempatan tetapi turut berfungsi sebagai kemudahan rekreasi bagi masyarakat setempat.
“Projek ini juga dijangka merancakkan ekonomi tempatan dengan menarik acara sukan, kedatangan pelancong serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” ujarnya. – TVS