MIRI, 2 Mac: Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan peluang besar kepada penduduk untuk membeli barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menggesa penduduk di kawasan terlibat untuk terus memanfaatkan program ini bagi meringankan perbelanjaan harian.
“Terdapat 22 barangan keperluan yang dijual pada harga Rahmah iaitu dengan diskaun antara 10 hingga 30 peratus. Antaranya ialah minyak masak, beras, telur, sardin, makanan di dalam tin, ikan, bawang dan sebagainya. Inilah yang saya katakan sebagai inisiatif untuk mengurangkan kos perbelanjaan rakyat dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian di atas inisiatif ini.
“Untuk tahun 2024, sebanyak 130 Program Jualan Rahmah dilaksanakan di Bahagian Miri. Tahun ini bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) saya iaitu DUN Piasau. Terima kasih. Saya menggalakkan orang ramai untuk mengambil peluang ini untuk membeli barangan keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Madani di Miri pada Ahad.
Menurutnya, sebanyak 130 program jualan rahmah diadakan sepanjang tahun 2024 dan setakat Februari 2025, sebanyak 26 program dilaksanakan di Miri.
Jualan Rahmah Madani bukan sahaja memberikan kelegaan kewangan tetapi juga memberi peluang kepada keluarga untuk berjimat dalam menguruskan kos hidup yang semakin meningkat. – TVS