Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Muhammad Ashrafiee dan Zainal Ariffin Syamsuddin. Foto TVS

Peniaga sajikan hidangan istimewa berbuka puasa

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 2 Mac: Peniaga di Bazar Ramadan Miri tidak melepaskan peluang menyajikan pelbagai hidangan istimewa buat pengunjung yang mencari juadah berbuka puasa.

Antara yang mencuri tumpuan ialah gerai roti john milik Muhammad Ashrafiee dan gerai menjual lemang diusahakan  Zainal Ariffin Syamsuddin bersama ibunya.

Muhammad Ashrafiee, seorang peniaga dari Miri yang berniaga di bazar selama 14 tahun berkata, persediaan awal amat penting bagi memastikan kelancaran jualan.

“Hari ini memang penuh. Kami memang dah bersiap awal sebab tahu hari ini Ahad. Memang kami dah bersedia seawal sekitar 1 tengah hari, siap sedia dengan semua barang. Alhamdulillah, jualan habis dalam pukul 4 petang tadi,” katanya ketika ditemui TVS di Bazar Ramadan Stadium Tertutup Miri, hari ini.

Ashrafiee juga berharap rezeki bukan hanya menyebelahi dirinya tetapi juga rakan-rakan peniaga lain di bazar.

“Harapan kami, insya-Allah, semoga rezeki datang untuk semua, bukan hanya untuk kami tetapi juga untuk rakan-rakan peniaga lain. Kami mendoakan agar rezeki mereka bertambah dan segala urusan kami dipermudahkan, agar tiada masalah sepanjang berniaga di bazar,” ujarnya.

Dengan pengalaman lebih satu dekad, Muhammad Ashrafiee dan pasukannya sudah terbiasa dengan suasana bazar yang sibuk.

“Mereka juga sentiasa menyediakan menu istimewa setiap tahun untuk menarik pelanggan setia,” jelasnya.

Sementara itu, Zainal Ariffin Syamsuddin, 22, yang membantu ibunya di gerai menjual lemang mendedahkan perniagaan keluarganya sudah wujud sejak tahun 2001 dan terus berkembang dengan baik.

“Lemang Nani merupakan perniagaan keluarga sejak tahun 2001, sebelum saya lahir lagi. Keluarga saya memang mengutamakan bisnes ini ketika musim perayaan seperti Hari Raya. Kadang-kadang, kami juga menerima tempahan untuk Gawai dan Krismas,” kata Zainal.

Selain lemang, mereka turut menjual rendang ayam, daging masak hitam dan kuah kacang sebagai pelengkap hidangan berbuka puasa.

Menurutnya, jualan lemang sangat memberangsangkan kerana pelanggan semakin mengenali jenama keluarganya.

“Setakat ini, lemang adalah produk utama kami. Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, sambutan sangat menggalakkan dan jualan kami selalu habis sebelum pukul 6 petang,” ujarnya.

Dengan matlamat untuk mengembangkan perniagaan, Zainal berharap suatu hari nanti mereka dapat membuka kedai atau restoran sendiri.

“Insya-Allah, harapan kami adalah untuk membuka kedai atau restoran sendiri pada masa akan datang. Tetapi buat masa ini, kami hanya berniaga di bazar,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan