KUCHING, 2 Mac: Kampung Pasir Pandak kini memiliki Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang berperanan sebagai pusat untuk menguruskan pentadbiran kampung.
Majlis perasmian Rumah JKKK tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada Sabtu.
Bangunan baharu yang bernilai RM150,000 itu turut menempatkan Pusat Ekonomi Wanita Kampung Pasir Pandak.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Dr. Abdul Rahman berkata, rumah tersebut memainkan peranan penting sebagai pusat koordinasi pembangunan dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Rumah JKKK ini juga digunakan untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk setempat untuk memanfaatkan rumah tersebut untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti komuniti, pendidikan dan keusahawanan.-TVS