MIRI, 2 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak komited memantau harga barangan kawalan di pasaran.
Pengarahnya Matthew Dominic Barin berkata, pemeriksaan harga dilaksanakan pada setiap hari termasuk cuti.
“Untuk makluman semua operasi kita buat hari-hari. Pemeriksaan kita buat hari-hari. Kita ada dalam 228 pegawai penguatkuasa di seluruh Sarawak dan juga pegawai pemantau harga di seluruh Sarawak, kita ada dalam 95 orang sekarang ini. Kita buat pemeriksaan setiap hari termasuk hari cuti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Perasmian Program Jualan Rahmah Madani di Miri pada Ahad.
Sementara itu, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 1,000 aduan pengguna dari seluruh Sarawak.
“Setakat ini aduan untuk 2025, kita dah ada banyak aduan. Setakat ini lebih 1,000 aduan di seluruh Sarawak. Jadi kita mengambil tindakan terhadap semua kes tersebut. Kita mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati penjaja di bazar Ramadan supaya menjual juadah berbuka puasa pada harga berpatutan dan mematuhi etika perniagaan. – TVS