Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin ketika perasmian Majlis Ulang Tahun ke-15 Junior Chamber International (JCI) Riam 2025 serta Majlis Pelantikan dan Anugerah di Grand Palace Hotel, Miri. Foto TVS

Kerajaan Sarawak fokus ekonomi digital, AI untuk masa depan

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 2 Mac: Sarawak bersiap sedia untuk mengukuhkan ekonomi digital dengan memberi penekanan kepada kepentingan kecerdasan buatan (AI) dalam menghadapi era digital yang semakin berkembang pesat.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pemahaman mendalam mengenai AI serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global adalah penting bagi memastikan Sarawak kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak boleh lari daripada AI kerana ia adalah masa depan. Dengan adanya teknologi seperti DeepSeek dan ChatGPT yang semakin berkembang, kita perlu bersedia untuk menghadapi perubahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ulang Tahun ke-15 Junior Chamber International (JCI) Riam 2025 serta Majlis Pelantikan dan Anugerah di Grand Palace Hotel di sini, semalam.

Tambahnya, Sarawak kini berada di landasan yang tepat untuk memanfaatkan AI dalam pelbagai sektor, terutamanya dalam perubatan.

“Pada masa depan, kita mungkin mempunyai doktor AI yang mampu mendiagnosis masalah kesihatan berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan melalui sistem AI,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, Kerajaan Sarawak kini sedang berusaha mengumpulkan data besar (big data) untuk memastikan perkembangan yang lebih baik dan relevan dalam ekonomi digital.

“Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah ditubuhkan, dan pada tahun ini, Sarawak akan menubuhkan Pusat AI Sarawak,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut menekankan matlamat Kerajaan Sarawak untuk mencapai pendapatan isi rumah yang lebih tinggi menjelang 2030, selaras dengan pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID 19 (PCDS) 2030.

Kim Shin menegaskan bahawa pendidikan dan latihan adalah kunci untuk mencapai matlamat tersebut, di mana Kerajaan Sarawak merancang untuk menawarkan pendidikan universiti percuma bagi mereka yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi di wilayah ini.

“Dengan menawarkan pendidikan percuma di universiti seperti Curtin University Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Swinburne University dan lain-lain, kami berharap dapat mencipta tenaga kerja berkemahiran tinggi yang akan menyokong ekonomi digital dan membawa kepada penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan