KUCHING, 2 Mac: Peniaga dan pengendali makanan di bazar Ramadan perlu sentiasa menjaga kebersihan makanan dan keselamatan sepanjang bulan puasa ini.
Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmi Othman berkata, pengunjung dapat memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat mana-mana peniaga yang gagal untuk mematuhi peraturan ditetapkan.
“Sekiranya pengunjung mendapati makanan atau minuman yang dijual tidak mematuhi kehendak kesihatan, sila berhubung segera dengan pihak bandaraya atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ini untuk memastikan apa-apa yang dijual adalah baik untuk peniaga dan pengunjung,” katanya ketika ditemui pada perasmian Bazar Ramadan Satok anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, hari ini.
Menurutnya, peraturan tersebut juga terpakai kepada peniaga di gerai atau kampung sekitar kawasan pentadbiran DBKU.
“Kita memberi kelonggaran untuk mereka berniaga tetapi mereka juga perlu memastikan kehendak seperti keselamatan pembeli dan lalu lintas terjaga.
“Sekiranya ada peniaga yang menyebabkan kesulitan lalu lintas dan sebagainya, maka DBKU akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Jadi saya memohon kepada peniaga-peniaga yang tidak ditempatkan di bazar Ramadan untuk bekerjasama dengan pihak penguasa,” ujarnya.
Terdahulu, Bazar Ramadan Satok dirasmikan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulangi peringatan sama, beliau menyeru peniaga dan pengendali makanan memastikan makanan berada dalam keaadaan bersih dan sisa makanan diurus dengan baik.
Dibuka bermula jam 2 petang sepanjang Ramadan ini, bazar tersebut menampilkan lebih 94 gerai yang menawarkan pelbagai aneka makanan dan minuman.
Majlis sama turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada asnaf dan pengagihan lebih 500 unit apron dan topi daripada rakan kongsi DBKU.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki. – TVS