MIRI, 2 Mac: Bazar Ramadan Miri terus menjadi tumpuan utama masyarakat untuk mencari juadah berbuka puasa.
Pelbagai pilihan makanan ditawarkan dan pengunjung tidak melepaskan peluang membeli juadah pilihan mereka.
Nur Muhammad Izuddi, 27, berkata, setiap tahun dia tidak ketinggalan mencari makanan kegemaran di bazar Ramadan iaitu roti john.
“Saya memang gemar makan roti john dan setiap petang sepanjang bulan puasa, saya pasti akan mencari juadah ini,” katanya ketika ditemui TVS di bazar Ramadan di Stadium Tertutup Miri, hari ini.
Selain itu, Izuddi juga berazam untuk menambahkan amalan sepanjang Ramadan ini.
“Saya akan menambahkan amalan seperti solat dan sedekah setiap hari berbanding tahun lepas,” ujarnya.
Bagi Muhammad Zakaria, 25, dia lebih gemar memilih makanan tinggi protein untuk kekal bertenaga sepanjang hari berpuasa.
“Saya lebih suka makanan panggang seperti ayam dan ikan. Selain itu, saya juga membeli sedikit kuih-muih,” jelasnya.
Selain berbuka puasa, Zakaria juga membantu kawannya di kedai sebelum mengunjungi bazar pada hujung minggu.
“Saya memilih bazar ini kerana banyak pilihan makanan dan ramai rakan saya juga datang ke sini,” kata Zakaria.
Syahiran Anas, 24, pula memilih hidangan ringan ketika sahur untuk mengelakkan sakit perut sepanjang hari.
“Saya tidak makan terlalu berat ketika sahur. Saya hanya makan makanan ringan supaya perut saya tidak sakit sepanjang berpuasa,” ujarnya.
Dalam memilih makanan berbuka, Syahiran lebih gemar makanan panggang seperti ayam bakar madu dan nasi briyani.
“Saya suka bazar ini kerana ramai orang datang ke sini dan saya juga boleh membeli makanan untuk keluarga saya,” jelasnya.
Harapan Syahiran sepanjang Ramadan adalah dapat berpuasa bersama-sama keluarga seperti sebelum ini.
“Harapan saya adalah dapat berpuasa bersama-sama keluarga dan dapat menyambut Ramadan dengan penuh kegembiraan,” tambahnya. – TVS