KUCHING, 2 Mac: Pihak polis menyita sebanyak 26 buah motosikal dalam operasi ‘Samseng Jalanan’ yang diadakan mulai jam 10.30 malam hingga 4 pagi tadi di Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching diketuai seorang pegawai kanan polis bersama 27 anggota.
“Tujuan operasi adalah bagi membanteras aktiviti samseng jalanan agar pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya.
“Dalam operasi ini, sebanyak 168 motosikal dan 10 kereta telah diperiksa, daripada jumlah tersebut sebanyak 26 motosikal telah ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati keadaan motosikal yang telah diubah suai dari struktur asal dan juga untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sepanjang operasi juga, seramai 182 individu diperiksa dan sebanyak 396 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Operasi ini akan sentiasa dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa. Pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan agar sentiasa menunggang motosikal dengan berhemah, berhati-hati di jalan raya dan tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.
“Mereka juga dinasihatkan tidak mengubahsuai struktur asal kenderaan dan tidak berkumpul di tepi jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan bunyi bising yang mengganggu ketenteraman awam,” ujarnya.
Beliau berkata, kecuaian pemandu atau penunggang motosikal boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. = TVS