BINTULU, 1 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, berkenan berangkat ke Majlis Rukyah Hilal Rasmi Ramadan di Pusat Falak Bintulu, petang semalam (Jumaat).
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin, sebaik ketibaan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah pada jam 6.10 petang.
Seterusnya, Ketua Penolong Mufti Bahagian Falak, Razalie Hussaini, menyampaikan taklimat mengenai rukyah hilal Ramadan 1446H sebelum proses cerapan anak bulan bermula.
Cerapan anak bulan berlangsung antara jam 6.20 petang hingga 6.43 petang bagi menentukan permulaan Ramadan.
Seusai majlis rukyah, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama para jemputan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi. – TVS