Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy terlibat dalam perbalahan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Naib Presiden JD Vance pada Jumaat, ketika masa depan perjanjian hak mineral berada dalam keadaan tidak menentu dalam satu mesyuarat penting di Rumah Putih Foto AFP

Trump, Vance, Zelenskyy bertikam lidah di Rumah Putih

ByBernama

WASHINGTON, 1 Mac: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy terlibat dalam perbalahan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Naib Presiden JD Vance pada Jumaat, ketika masa depan perjanjian hak mineral berada dalam keadaan tidak menentu dalam satu mesyuarat penting di Rumah Putih, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Anda sedang mempertaruhkan Perang Dunia Ketiga, dan apa yang anda lakukan ini sangat tidak menghormati negara yang telah banyak membantu anda, lebih daripada apa yang dikatakan sepatutnya,” Trump meluahkan kemarahannya terhadap Zelenskyy dalam pertemuan di Pejabat Oval.

Vance turut menegur Zelenskyy dengan berkata “adakah anda pernah mengucapkan terima kasih walau sekali? Berikan sedikit penghargaan kepada Amerika Syarikat dan Presiden yang sedang berusaha menyelamatkan negara anda.”

Trump kemudian menekankan situasi getir Ukraine:

“Negara anda dalam masalah besar,” katanya, yang diakui Zelenskyy dengan jawapan ringkas, “Saya tahu.”

“Anda banyak bercakap. Negara anda dalam masalah. Anda tidak menang dalam hal ini. Tetapi anda masih berpeluang keluar kerana kami.

“Anda tidak berada dalam kedudukan yang baik. Anda tidak memiliki kelebihan sekarang. Dengan kami, barulah anda mula memiliki kelebihan,” kata Trump.

Zelenskyy segera membalas: “Kita bukan bermain kad.”

Ketegangan bermula selepas Zelenskyy meminta untuk menjawab kenyataan Vance yang mempertahankan pendekatan Trump terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin.

“Apa yang menjadikan Amerika sebuah negara yang baik ialah penglibatannya dalam diplomasi. Itulah yang sedang dilakukan Presiden Trump,” kata Vance.

Zelenskyy membalas dengan mengingatkan sejarah pencerobohan Rusia:

“Pada 2015, tiada siapa menghentikannya. Dia tetap menceroboh dan membunuh orang. Anda tahu itu,” katanya, merujuk kepada Putin.

“Saya tidak berada di sini ketika itu,” kata Trump.

Presiden Ukraine itu kemudian menjelaskan bahawa beliau menandatangani perjanjian gencatan senjata bersama Putin, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Angela Merkel pada 2019.

“Kami menandatangani perjanjian itu, termasuk kontrak gas, tetapi selepas itu beliau melanggar gencatan senjata, membunuh rakyat kami, tidak bertukar tawanan seperti yang dipersetujui. Jadi, diplomasi apa yang anda maksudkan, JD?” kata Zelenskyy.

“Dengan segala hormat, saya rasa tidak wajar bagi anda datang ke Pejabat Oval dan membangkitkan perkara ini di hadapan media Amerika.

“Anda sepatutnya berterima kasih kepada Presiden kerana berusaha menamatkan konflik ini,” Vance membalas dengan nada tajam. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan