BERN (Switzerland), 1 Mac: Switzerland mengumumkan bahawa ia akan menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai wilayah Palestin yang diduduki pada 7 Mac, dengan penyertaan pelbagai negara serta penandatangan Konvensyen Geneva Keempat, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Jurucakap Kementerian Luar Switzerland, Nicolas Bideau dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa negara itu menjemput 196 negara untuk menghadiri persidangan yang membincangkan situasi rakyat Palestin di wilayah yang diduduki.
Beliau menjelaskan bahawa persidangan itu akan diadakan di Geneva atas permintaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), dengan penyertaan Negara-Negara Pihak kepada Konvensyen Geneva Keempat, seperti yang pernah diadakan pada 1999, 2001 dan 2014.
Pada September tahun lalu, Perhimpunan Agung PBB meminta Switzerland untuk menganjurkan persidangan terbabit ketika pendudukan Israel meneruskan serangan ganasnya ke atas Gaza.
Konvensyen Geneva Keempat merupakan sebahagian daripada siri perjanjian antarabangsa yang dipersetujui pada 1949 selepas Perang Dunia Kedua, bertujuan memastikan perlindungan kemanusiaan bagi orang awam yang tinggal di kawasan konflik atau di bawah pendudukan.-TVS