SRI AMAN, 1 Mac: Sarawak terus menunjukkan komitmennya dalam menyediakan peluang pendidikan berkualiti dengan memperkenalkan pendidikan teknikal yang relevan dengan keperluan industri masa depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, Sarawak Skills Cawangan Sri Aman adalah salah satu langkah besar dalam memastikan anak Sarawak mendapat pendidikan teknikal setanding dengan keperluan industri moden.
“Di Bandar Simanggang, kita tidak ketinggalan menyediakan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dalam aliran teknikal dengan beroperasinya Sarawak Skills Cawangan Sri Aman.
“Di masa hadapan kita merancang untuk mendirikan kampus tetap Sarawak Skills bagi memenuhi permintaan pelajar lepasan sekolah di Bahagian Sri Aman dan bahagian lain yang berminat mengikuti kursus ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Seri Gamang (ASGA) Sesi 2023/2024 Pusat Tingkatan 6 anjuran SMK Sri Aman di sini, pada Jumaat.
Harden yang juga Ahli Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menjelaskan, pendidikan teknikal kini memainkan peranan sangat penting dalam membekalkan tenaga kerja mahir untuk pelbagai sektor termasuk kejuruteraan, teknologi, dan tenaga boleh diperbaharui.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memperkasa pembangunan sumber manusia dan bakat anak Sarawak.
Tambahnya, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk biasiswa pendidikan, program latihan kemahiran dan kerjasama dengan industri bagi memastikan graduan mempunyai kemahiran relevan.
“Bagi menyokong komitmen berterusan, kementerian saya iaitu Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak banyak menyalurkan peruntukan untuk memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran selari dengan aspirasi Sarawak.
“Bentuk program yang dilaksanakan ialah Dual Language Program (DLP), Raspberry Pi, School Enhancement Education Programme (SEEP), pertandingan reka cipta robotik di peringkat sekolah rendah dan menengah serta banyak lagi yang menjurus kepada menanam minat pelajar dalam bidang TVET dan STEM,” ujarnya.
Untuk rekod, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) di Sri Aman menawarkan 10 kursus jangka pendek meliputi latihan dalam pendawaian elektrik asas, pembaikan dan penyelenggaraan komputer serta penggunaan Microsoft Word, Excel dan PowerPoint.-TVS