KUCHING, 1 Mac: Sarawak Energy Berhad (SEB) kini dalam rundingan dengan pihak berkuasa Indonesia bagi meningkatkan bekalan elektrik ke Kalimantan dan membincangkan struktur tarif baharu bagi eksport tenaga ke negara itu.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, rundingan tersebut melibatkan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) yang merupakan syarikat tenaga nasional Indonesia bagi memperluaskan bekalan elektrik dari Sarawak ke kawasan lebih luas di Kalimantan Barat.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah usaha untuk meningkatkan penyaluran bekalan elektrik ke kawasan yang lebih besar di Kalimantan dan rundingan mengenai tarif harga.
“Perbincangan ini sedang berjalan di peringkat Sarawak Energy dan PLN,” katanya ketika mengulas mengenai lawatannya ke Jakarta bersama-sama delegasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan SEB baru-baru ini.
Dalam lawatan sama, delegasi Sarawak turut berbincang dengan PT Kayan Hydropower Nusantara (KHN) iaitu syarikat yang bertanggungjawab membangunkan empangan hidro di Mentarang Induk, Kalimantan Utara dengan kerjasama Sarawak Energy sejak hampir empat tahun lalu.
Dr. Abdul Rahman menjelaskan projek empangan hidro itu hampir selesai dan perbincangan akan diteruskan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Beliau turut memaklumkan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia menyambut baik inisiatif tersebut dan berhasrat mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Sarawak di Kuching bagi membincangkan kerjasama lebih lanjut dalam sektor tenaga.
“Beliau amat menyambut baik dan berhasrat untuk datang ke Kuching bagi berbincang dengan Kerajaan Sarawak mengenai usahasama dalam pembangunan tenaga dan sumber lain khususnya melibatkan negeri dan negara di Kepulauan Borneo merangkumi Sarawak, Sabah, Brunei, dan Kalimantan.
“Itulah perkara yang telah dibincangkan di Indonesia,” ujarnya. – TVS