KUCHING, 1 Mac: Penduduk Kampung Nyabut dan Kampung Trombol kini boleh menikmati bekalan air bersih sepenuhnya hasil projek usahasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, projek yang bermula pada tahun 2022 itu siap sepenuhnya pada November 2024 dengan kos melebihi RM4 juta.
“Pelaksanaan projek memastikan kedua-dua kampung ini yang terletak dalam kawasan Telaga Air menerima bekalan air bersih sepenuhnya.
“Kampung Trombol mempunyai 17 rumah dan sebuah surau manakala Kampung Nyabut yang merupakan kampung baharu memiliki sekitar 119 rumah serta sebuah surau,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Projek Bekalan Air bagi Kampung Nyabut dan Kampung Trombol di Surau Kampung Nyabut, hari ini.
Beliau turut memaklumkan Lembaga Air Kuching (LAK) melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membekalkan air kepada dua surau di Kampung Nyabut serta sebuah masjid di Kampung Trombol.
Menurutnya, penduduk di Kampung Trombol menerima bekalan air lebih awal sementara bagi penduduk Kampung Nyabut yang baru membina rumah, mereka disarankan untuk berurusan dengan LAK bagi penyediaan meter air masing-masing.
Mengenai isu tekanan air rendah, beliau menjelaskan penggunaan air pada waktu puncak sering menjejaskan tekanan terutamanya bagi rumah yang terletak di kawasan berbukit atau kawasan berpenduduk padat.
Namun menurutnya, sistem saluran baharu yang dipasang Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) dan LAK dijangka dapat mengatasi masalah tersebut.
“Bagi sebarang gangguan atau kebocoran paip yang menjejaskan bekalan air, penduduk dinasihatkan untuk segera melaporkan kepada LAK dan JBALB supaya tindakan pembaikan dapat dilakukan dengan segera,” ujarnya.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak komited untuk meneruskan pelaksanaan projek bekalan air luar bandar di seluruh wilayah ini.
Antara inisiatif yang sedang giat dijalankan termasuk menaik taraf loji rawatan air, membina tangki air aras tinggi dan membangunkan stesen serta loji baharu selain menggantikan paip lama dengan yang baharu bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti bekalan air.
Turut hadir Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Awang Mohamad Fadillah Awang Redzuan, dan Pengurus Besar Lembaga Air Kuching (LAK), Rodziah Mohamad. – TVS