BARIO, 1 Mac: Tanah Tinggi Bario menjadi saksi kepada pelaksanaan satu program seni yang memberi tumpuan kepada penglibatan belia dan komuniti setempat dalam memperkasakan kesenian melalui Program MUDAarts.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran seni dalam kalangan golongan muda selain memperkenalkan seni visual, seni fotografi dan mural sebagai satu medium ekspresi kreatif serta sumber ekonomi.
Ia merupakan inisiatif pelajar sarjana dalam bidang seni halus, Nur Aimi Athirah Abdul Aziz yang turut mendapat bimbingan daripada pensyarah berpengalaman di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Ia dianjurkan dengan sokongan penuh daripada geran Sarawak Youth Creative Industry Fund (SYCIF) yang dikeluarkan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
MUDAarts berlangsung di Dewan Komuniti Bario dan menarik perhatian belia, kanak-kanak, pelajar sekolah dan pengusaha inap desa dan usahawan kraf tangan di kawasan tersebut.
Program tersebut berlangsung selama dua hari dan menyajikan pelbagai aktiviti seni untuk memupuk kreativiti dalam kalangan peserta.
Salah satu daripada aktiviti utama yang diadakan adalah MudaCatan iaitu bengkel seni catan menggunakan cat air yang dikendalikan oleh Sylvester Wielding Jussem, seorang artis visual terkenal dari Malaysia.

Selain itu, MudaFoto memberikan pendedahan kepada seni fotografi menggunakan telefon pintar, satu kaedah yang mudah dan praktikal.
Bengkel tersebut dikendalikan Dr. Hishamuddin Siri, seorang pensyarah kanan di Program Seni Halus UNIMAS. Dr. Hishamuddin yang mengajar peserta cara memanfaatkan telefon pintar untuk menghasilkan gambar berkualiti tinggi khususnya untuk tujuan promosi produk kraf atau makanan tempatan di Bario.
Salah satu aktiviti paling menarik dalam program tersebut adalah MudaMural yang mana belia dan komuniti setempat berkolaborasi dalam menghasilkan mural menggambarkan elemen budaya masyarakat Kelabit.

Aktiviti tersebutbukan sahaja memberikan peluang kepada peserta untuk menyalurkan kreativiti mereka tetapi juga berfungsi untuk memperkenalkan dan memartabatkan identiti budaya Bario melalui seni.
Selain Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS dan belia Bario, program tersebut mendapat sokongan daripada Semarak Kreatif Sdn Bhd, AR Printing Services, Jati Tugau Production, Lupong Homes dan Persatuan RURUM Kelabit Sarawak.
Program MUDAarts turut dihadiri oleh pelbagai personaliti penting termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala yang turut meluangkan masa untuk menyaksikan aktiviti MudaMural.
Dalam ucapannya, Datuk Gerawat Gala menyatakan program seperti itu perlu diteruskan untuk memperkasa belia di luar bandar termasuk di Bario.
“Program sebegini wajar diteruskan dan menggalakkan lebih banyak penganjuran aktiviti melibatkan belia.
“Selain itu, saya turut berharap belia memanfaatkan program seumpama ini dan mengambil peluang bagi tujuan kemajuan diri serta pembangunan belia tempatan terutamanya di luar bandar,” katanya.

Beliau menggalakkan belia mengambil peluang untuk mengembangkan potensi diri melalui seni dan kreativiti sebagai langkah ke arah kemajuan peribadi dan pembangunan komuniti.
Majlis penutupan program MUDAarts disempurnakan oleh Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS, Dr. Ringah Kanyan.

Dalam ucapan penutupan rasmi, Dr. Ringah berharap program seperti itu memberi inspirasi kepada belia di Bario dan seterusnya kepada seluruh komuniti luar bandar untuk melihat seni sebagai satu saluran ekspresi kreatif, pembangunan diri dan peluang perniagaan.
“Saya turut menyeru anak muda supaya berfikiran ke hadapan dan menanam cita-cita untuk meneruskan pengajian ke menara gading. UNIMAS sudah bertapak di Bumi Sarawak sejak 1992 dan turut menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada anak Sarawak,” ujarnya.-TVS