MIRI, 1 Mac: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmen dalam memperkukuhkan ekonomi wilayah melalui pembangunan industri penerbangan dan aeroangkasa.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, menegaskan kepentingan penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi di wilayah ini.
“Walaupun syarikat penerbangan ini mungkin mengalami kerugian pada peringkat awal, kesan berganda yang dihasilkan melalui penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi seperti juruterbang, juruteknik pesawat dan jurutera akan memberi impak positif yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ulang Tahun ke-15 Junior Chamber International (JCI) Riam 2025 serta Majlis Pelantikan dan Anugerah di Grand Palace Hotel di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa peningkatan peluang pekerjaan ini akan memberi manfaat secara langsung kepada sektor lain seperti perhotelan, pertanian, dan perniagaan.
“Apabila kita membawa lebih ramai pelancong dan ahli perniagaan ke Sarawak, mereka akan menginap di hotel-hotel tempatan. Dengan peningkatan jumlah pengunjung, permintaan terhadap hotel juga meningkat, sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri perhotelan.
“Selain itu, mereka yang menginap di hotel juga memerlukan makanan, yang secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang kepada petani tempatan untuk membekalkan hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan ternakan. Ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dengan meningkatkan pengeluaran serta permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan,” katanya lagi.
Selain itu, Kerajaan Sarawak juga sedang mengorak langkah dalam industri aeroangkasa dengan sasaran untuk menjadi pusat pembuatan bahagian pesawat dan melancarkan satelit, terutamanya satelit orbit rendah bumi.
“Sarawak merupakan lokasi yang strategik untuk pelancaran satelit kerana keupayaannya dalam mengumpul data bernilai tinggi, yang amat penting dalam dunia teknologi dan komunikasi masa kini.
“Sarawak berpotensi untuk membangunkan dan melancarkan satelit sendiri, selari dengan perancangan Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang turut memberi penekanan terhadap perkara ini. Semua peluang ini akan membuka lebih banyak ruang pekerjaan berpendapatan tinggi di Sarawak,” ujarnya.
Kim Shin turut menyeru golongan muda untuk mengambil peluang dalam bidang kejuruteraan, penerbangan dan tenaga dengan memberi penekanan terhadap peningkatan jumlah jurutera dalam bidang seperti kejuruteraan kimia, mekanikal, elektrik dan tenaga.
“Apabila kita mempunyai kerajaan yang kukuh dan stabil seperti yang kita miliki hari ini, tumpuan sepenuhnya adalah kepada rakyat. Kerajaan Sarawak terus merancang dan melaksanakan inisiatif yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan, serta memastikan masa depan yang lebih baik untuk generasi muda,” ujarnya lagi. – TVS