MORIOKA (Jepun), 1 Mac: Lebih 100 keluarga di timur laut Jepun diarah berpindah pada Sabtu ketika kebakaran hutan yang berlanjutan selama empat hari terus merebak, lapor Agensi Berita Kyodo.
Kerajaan Wilayah Iwate mengeluarkan arahan baharu untuk 333 penduduk, selepas lebih 4,000 penduduk diarahkan meninggalkan rumah mereka sebelum ini.
Kebakaran yang bermula sejak Rabu di Ofunato memusnahkan kira-kira 1,200 hektar kawasan hutan dan kini telah merebak sehingga 1,400 hektar.
Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana menyifatkan ia sebagai kebakaran hutan terburuk di Jepun sejak 1980-an.
Sebanyak enam helikopter milik Pasukan Pertahanan Diri Jepun dikerahkan untuk membantu operasi, bersama pasukan dari beberapa wilayah lain.
Setakat ini, kebakaran itu meragut satu nyawa dan memusnahkan hampir 100 rumah. – TVS