Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kadar dividen 6.30 peratus yang diumumkan untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024 adalah yang tertinggi untuk tempoh sejak 2017. Foto fail Bernama

Kadar dividen KWSP 6.30 peratus adalah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun – CEO

ByBernama

SHAH ALAM, 1 Mac: Kadar dividen 6.30 peratus yang diumumkan untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024 adalah yang tertinggi untuk tempoh sejak 2017, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Ahmad Zulqarnain Onn.

Beliau berkata antara faktor yang mendorong kadar dividen itu adalah pasaran ekuiti di Malaysia yang meningkat 12.7 peratus serta pasaran ekuiti seluruh dunia yang naik 17 peratus.

“Maka, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia juga agak bagus dengan 5.1 peratus.

“Ini adalah faktor-faktor yang menyebabkan dividen KWSP naik daripada 5.5 peratus pada 2023 kepada 6.3 peratus bagi 2024,” katanya kepada pemberita pada KWSP 2024: Taklimat Dividen di sini, pada Sabtu.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah RM73.24 bilion.

Menurut KWSP, bermula tahun lepas KWSP mengasingkan Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah supaya setiap dana itu boleh diuruskan dengan cara tersendiri.

“Kita boleh membuat strategi berasingan dan berlainan mengikut pasaran aset yang ada di dalam kedua-dua dana tersebut. Itulah sasaran kita untuk jangka masa panjang iaitu kadar dividen lebih kurang sama.

“Dari tahun ke tahun mungkin berbeza tetapi secara kebetulan tahun ini sama, tak semestinya (kadar dividen itu akan) sama nanti,” katanya.

Mengulas mengenai prospek dividen bagi 2025, Ahmad Zulqarnain berkata KWSP tidak dapat menjangkakan kadar dividen itu kerana bergantung kepada beberapa cabaran dari segi risiko geopolitik serta risiko perdagangan antarabangsa termasuk yang akan dilaksanakan oleh Amerika Syarikat.

Mengenai akaun fleksibel yang dilancarkan pada Mei 2024, beliau berkata pengeluaran daripada akaun itu berjumlah RM12.2 bilion pada 2024, satu angka yang lebih rendah daripada RM25 bilion yang dijangkakan pada awalnya.

“Daripada keahlian kami, kami mendapati 70 peratus tidak menggunakan akaun fleksibel dan hanya 30 peratus daripada empat juta ahli membuat pengeluaran daripada akaun tersebut.

“Kami gembira dengan nisbah ini yang menunjukkan majoriti rakyat Malaysia berhasrat untuk mengekalkan simpanan persaraan mereka,” katanya.

Ahmad Zulqarnain juga berkata aset di bawah pengurusan KWSP pada 2024 meningkat kepada RM1.25 trilion, peningkatan sebanyak 10 peratus tahun ke tahun, dan kadar pertumbuhan jangka masa panjang pada 8.5 peratus tahun ke tahun bagi tempoh dua dekad. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan