SARIKEI, 1 Mac: Lelaki warga emas yang hilang di kawasan hutan di Rumah Panjang Luang Empaong Roban di sini, hanya minum air sungai dan makan gula-gula yang dibekal sepanjang enam hari sesat di dalam hutan.
Mangsa, Kamoi Paun, 69, dijumpai dalam keadaan selamat pagi tadi, namun dalam keadaan lemah serta mengalami luka di bahagian kaki dan tangan.
Warga emas hilang di hutan Sarikei hampir seminggu ditemukan selamat
Komander Operasi, Arrahaman Chik berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mangsa telah dijumpai selamat oleh penduduk kampung yang turut bersama mengikuti Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dalam jarak 300 meter dari Rumah Panjang Luang kira-kira jam 9 pagi.
“Mangsa seterusnya dibawa oleh pasukan SAR menggunakan pengusung ke rumah panjangnya dan diserahkan kepada pihak ambulans Saratok untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menjelas lanjut, Arrahman berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei menerima laporan berhubung kes itu pada 24 Februari lalu dengan menggerakkan lima anggota ke lokasi kejadian.
“Kamoi telah keluar dari rumah panjang dengan berjalan kaki hendak ke Pasar Roban sekita jam 8 pagi pada 23 Februari.
“Mangsa dilaporkan tidak balik ke rumah sehingga laporan polis dibuat pada 24 Februari, mangsa juga mempunyai masalah kesihatan iaitu merupakan seorang pesakit darah tinggi dan lemah jantung,” ujarnya.- TVS