KUCHING, 1 Mac: “Saya telah menunggu selama 13 tahun untuk impian memiliki syarikat penerbangan sendiri menjadi kenyataan, AirBorneo kini berdiri sebagai simbol kebanggaan identiti Sarawak,” kata pemerhati politik veteran, Francis Paul Siah.
Dalam menyuarakan sokongan padu terhadap penubuhan syarikat penerbangan tersebut, beliau mengemukakan lima sebab utama ia menjadi langkah penting ke hadapan bagi negeri ini.
“Saya telah mengemukakan cadangan ini lebih sedekad yang lalu, iaitu pada tahun 2012 dengan alasan kukuh mengapa ia harus direalisasikan.
“Sebagai penyokong awal, kini melihat AirBorneo akhirnya direalisasikan, saya berasa amat teruja dan gembira,” katanya dalam satu kenyataan.
Siah, yang juga pemimpin Gerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS), berkata, beliau menganggap AirBorneo sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional.
“Saya seorang anak Sarawak yang memilih untuk melihat tanah air sebagai sebuah entiti berasingan, bukan sekadar salah satu daripada tiga rakan kongsi dalam sebuah persekutuan yang tidak lagi berfungsi dengan kondusif untuk kepentingan dua wilayah Borneo.
“AirBorneo, secara ringkasnya, juga merupakan simbol status bagi Sarawak,” katanya.
Beliau kemudian menyatakan bahawa Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan bahawa AirBorneo ditubuhkan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan kadar tambang berpatutan, walaupun merupakan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh.
“Bagi saya, selagi sesuatu projek dirancang dan dimotivasikan untuk kepentingan rakyat, ia tidak begitu perit apabila mengetahui jumlah kerugian yang ditanggung kerana dimanfaatkan untuk rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau juga kekal optimistik terhadap masa depan syarikat penerbangan itu menyatakan, dengan sokongan kukuh daripada penduduk tempatan dan serantau, ia akan berkembang maju dalam tempoh lima tahun.
“Walau apa-apa pun kesimpulan, saya ingin menyatakan keyakinan bahawa jika rakyat Sarawak dan masyarakat Borneo secara keseluruhannya, termasuk Sabah, Kalimantan, dan Brunei, memberikan sokongan sepenuhnya, ia akan berjaya dalam tempoh lima tahun yang konservatif.
“Biarlah AirBorneo menjadi pilihan utama bagi perjalanan udara untuk 24 juta penduduk Borneo,” tegasnya.
Beliau juga melihat syarikat penerbangan ini sebagai aset berharga bagi pertumbuhan ekonomi dan pelancongan wilayah ini.
“Dengan pengurusan yang betul, sokongan kerajaan, dan rangkaian laluan yang dirancang dengan baik, syarikat penerbangan baharu ini boleh membuktikan bahawa mereka yang skeptikal adalah silap. ”
Seterusnya menjadi aset yang amat bernilai kepada Sarawak,” katanya.
Mengakhiri harapannya terhadap syarikat penerbangan ini, beliau turut menekankan keperluan untuk ketelusan dan kecekapan dalam operasinya.
“Mulakan dengan kecil, berfikiran besar, elakkan salah urus, jangan menipu pelanggan seperti syarikat penerbangan lain.
“Bersikap jujur dalam membantu rakyat Sarawak dan Borneo, dan AirBorneo akan mempunyai masa depan yang cerah,” tegasnya. Untuk rekod, Kerajaan Sarawak Menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) pada 12 Februari lalu bagi pengambilalihan MASwings.
Selepas menandatangani SPA, pemindahan hak milik MASwings daripada MAG kepada Kerajaan Sarawak akan mengambil masa 12 hingga 18 bulan dengan semasa tempoh peralihan ini, MASwings meneruskan operasi seperti biasa.
Kerajaan Sarawak merancang untuk mengekalkan perkhidmatan udara luar bandar yang sedia ada dan secara beransur-ansur memperkenalkan laluan antarabangsa baharu.
Antara destinasi yang sedang dipertimbangkan termasuk Korea, Jepun, Hong Kong, Thailand, Indonesia, China dan Jerman, dengan Frankfurt sebagai salah satu destinasi utama. – TVS