KUCHING, 28 Feb: Isu banjir yang menjejaskan infrastruktur di kawasan Rumah Panjang Regina, Sungai Selidap, dekat Meradong, telah ditangani segera oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Ahli Parlimen Sarikei itu berkata beliau telah menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sarikei bagi menangani masalah tersebut selepas menerima maklum balas daripada penduduk rumah panjang.
Katanya, beberapa bahagian jalan ke Rumah Panjang Regina di Sungai Selidap telah mengalamibanjir akibat musim hujan baru-baru ini.
“Hasil tinjauan, didapati paras air sungai yang meningkat menyebabkan air melimpah ke jalan raya dan mengakibatkan gangguan lalu lintas.
“Dua rumah panjang di kawasan itu, dengan sejumlah 28 isi rumah, terjejas akibat banjir,” katanya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Justeru katanya, satu tinjauan ke tapak telah diadakan bersama pasukan pusat khidmat wakil rakyat Parlimen Sarikei, Pegawai JPS Bahagian Sarikei, Faliana Mia, Tuai Rumah Regina Kumjum, dan penduduk setempat.
Tinjauan itu turut disertai wakil Tiong Sii, Gung Chiu Kion.
Sehubungan itu, Tiong Sii berterima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak JPS Bahagian Sarikei untuk menambah baik infrastruktur asas di Meradong, serta usaha berterusan dalam menyelesaikan masalah yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.-TVS