KUCHING, 28 Feb: Sarawak terpilih selaku tuan rumah mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Ahli Parlimen Wanita Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (WAIPA).
Ia akan diadakan di pusat peranginan Damai Lagoon selama empat hari dari 21 April hingga 24 April tahun ini.
Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng, berkata mesyuarat tersebut diadakan dengan kerjasama Parlimen Malaysia bersama Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Menurutnya, mesyuarat pada kali ini bertemakan kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang menekankan unsur keterangkuman dan inklusif.
“Mesyuarat WAIPA 2025 adalah platform bagi Ahli Parlimen Wanita Negara-Negara Anggota ASEAN untuk berbincang serta bertukar pandangan berkaitan isu pembangunan wanita, kanak-kanak dan keluarga dalam konteks ASEAN.
Perbincangan diadakan dalam kunjungan hormat Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng, ke Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti di Bangunan Baitulmakmur II, Kuching.
“Ini merupakan kali pertama mesyuarat ini dianjurkan di Sarawak kerana kami ingin mempromosikan lebih banyak lokasi di Malaysia selain Kuala Lumpur,” katanya.
Alice berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.
Menurutnya, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah bagi persidangan itu ialah pada 2015, dan kini kembali selepas 10 tahun.
“Sebelum ini, setiap mesyuarat dan perhimpunan WAIPA hanya diadakan di Kuala Lumpur.
“Pada tahun ini, kami cuba membawa mesyuarat ke lebih banyak negeri seperti di Sarawak, Pahang dan Selangor, sebagai usaha kita untuk mempromosikan tempat-tempat menarik lain di Malaysia,” katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, perhimpunan utama WAIPA akan tetap berlangsung di Kuala Lumpur, dan dijadual berlangsung pada September tahun ini.
Mesyuarat WAIPA di Sarawak pada April akan disusuli dengan mesyuarat jawatankuasa lain pada Mei dan juga Jun.
Perhimpunan akan menyaksikan pelibatan delegasi negara-negara ASEAN seperti Vietnam, Kemboja, Myanmar, Singapura, Brunei dan Laos.
Tegas Alice, antara tujuan utama kunjungan hormat pada hari ini adalah untuk memberikan maklum balas terkini tentang persiapan WAIPA.
Beliau dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada Fatimah atas kesudian menerima kunjungan hormat rombongannya, selain berharap ia dapat mengeratkan hubungan baik antara Kerajaan Sarawak dengan Parlimen Malaysia.-TVS