KUCHING, 28 Feb: Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025 bakal memeriahkan kembali Kampung Budaya Sarawak, Santubong, dengan barisan persembahan yang luar biasa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata RWMF 2025 akan menampilkan tiga persembahan utama, termasuk kumpulan pemenang Anugerah Grammy dari Amerika Syarikat, Earth, Wind & Fire Experience.
Kumpulan itu bakal dipimpin oleh gitaris pemenang Grammy, Al McKay, yang akan menghidupkan semula bunyi legenda funk, soul, dan jazz daripada Earth, Wind & Fire.
Selain itu, RWMF 2025 turut menampilkan dua lagi persembahan utama iaitu Otyken dari Siberia, Rusia, dan kumpulan kelahiran Sarawak, At Adau.
“Persembahan utama tahun ini mencerminkan tema ‘Connections’, menggabungkan irama, tradisi, dan kisah dari seluruh dunia.
“Barisan pemuzik luar biasa ini, yang membawa warisan budaya masing-masing, akan menjadikan muzik sebagai medium yang menghubungkan generasi, negara, dan pelbagai tradisi dalam satu pengalaman harmoni dan perayaan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran RWMF 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, susulan kejayaan RWMF tahun lalu yang mencatatkan 26,000 pengunjung, Abdul Karim berkata pihaknya optimis untuk menarik lebih ramai pengunjung tahun ini, dengan sasaran baharu sebanyak 30,000 orang.
“Sasaran ini mengukuhkan peranan RWMF sebagai pemacu utama ekonomi budaya dan industri pelancongan Sarawak,” tambahnya.
RWMF 2025 turut menampilkan kumpulan antarabangsa seperti Gaga Gundul (Perancis dan Indonesia), Kuntaw Mindanao (Filipina), Kulāiwi (USA, Hawaii), La Chiva Gantiva (Colombia dan Belgium), Manhu (China), N’famady Kouyaté (Guinea dan UK), Paradise Bangkok Molam International Band (Thailand), Rob Ruha (New Zealand), Seffarine (Maghribi, Cuba, Spain, USA dan Iran), Seppuku Pistols (Jepun) dan Tal Fry (India).
Selain itu, RWMF juga akan menampilkan bakat tempatan seperti Buddha Beat, Buloh Berkocak, Mathew Ngau Jau bersama Lan E Tuyong, Meruked, dan Naungan.
RWMF 2025 akan berlangsung dari 20 hingga 22 Jun 2025.
Jualan tiket awal (Early Bird) akan dibuka dari 8 Mac hingga 31 Mac 2025 dengan harga istimewa.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, peminat boleh melayari laman rasmi RWMF di rwmf.net.