KUCHING, 28 Feb: Rumpun Silat Sarawak Wilayah Kuching komited memperkasa latihan bagi melahirkan pesilat berkualiti, sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Silat Tertutup Kuching (Kuching Close), Sukan Sarawak (SUKSAR) dan Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
Pengerusinya, Abdul Taib Yusup, berkata latihan intensif yang dijalankan bertujuan memastikan atlet silat dari Kuching mampu bersaing di peringkat tertinggi serta memberi saingan sengit dalam kejohanan tersebut.
“Latihan yang sistematik mengikut piawaian kejohanan amat penting bagi melahirkan pesilat bukan sahaja mahir dari segi teknik, tetapi juga memiliki mentaliti juara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Program Latihan Jurus Regu & Jurus Wajib anjuran Rumpun Silat Sarawak Wilayah Kuching, yang berlangsung di Pusat Latihan Intensif Sukan Silat, Petra Jaya, di sini semalam.
Turut hadir, Naib Presiden 1 Rumpun Silat Sarawak, Hj Mohamad Alli Hj Zainuddin dan Setiausaha Agung Rumpun Silat Sarawak, Abas Hamzah Hj Muhd Haneef.
Program selama tiga hari itu menghimpunkan 65 pesilat dari 20 perguruan silat sekitar Kuching dan dikendalikan oleh Arniedawati Kassim.
Menurut Abdul Taib, program ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran pesilat, malah turut membantu memperkasakan jurulatih perguruan silat di bawah naungan Rumpun Silat Sarawak.
Beliau berharap penganjuran program seumpama ini dapat menjadi landasan pembangunan sukan silat di Sarawak, sekali gus mengukuhkan kedudukan wilayah ini sebagai antara kuasa besar dalam arena silat tanah air. – TVS