BINTANGOR, 28 Feb: Kejohanan Merentas Desa Peringkat MSSB Sarikei (Sekolah Rendah) mampu menjadi platform terbaik untuk pelajar mengembangkan bakat dalam sukan.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, ia secara tidak langsung menggalakkan pelajar memiliki tahap kesihatan terbaik dan sentiasa aktif.
“Penyertaan besar melibatkan sekolah dalam kejohanan ini menjadi bukti komitmen tinggi untuk menjayakan aktiviti sukan.
“Ini kerana kejohanan merentas desa merupakan antara platform yang memberi peluang kepada pelajar mengembangkan bakat dan meningkatkan kecemerlangan dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kejohanan Merentas Desa Peringkat MSSB Sarikei (Sekolah Rendah) Tahun 2025 di SK Bukit Nibong pada Khamis.
Sebanyak 44 sekolah rendah di Daerah Sarikei, 33 sekolah Daerah Julai dan 29 sekolah Daerah Meradong yang membabitkan 891 peserta menyertai kejohanan tersebut.
Pada majlis tersebut Ding mengumumkan geran bernilai RM5,000 kepada SK Bukit Nibong untuk pelaksanaan aktiviti tahunan.-TVS