KUCHING, 28 Feb: Projek pembinaan Wisma Melayu di Petra Jaya kini berada pada tahap 85 peratus siap, namun masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat digunakan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan bangunan ini dapat digunakan secepat mungkin.

Menurutnya, beberapa aspek utama yang masih memerlukan perhatian termasuk pemasangan janakuasa elektrik mini, penyambungan bekalan air, serta penyelesaian kerja-kerja dalaman seperti permaidani dan perabot.
Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) menambah, koordinasi antara kontraktor, perunding dan pengurus projek juga menjadi faktor penting dalam memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual.
“Ada barang yang sudah tersedia, tetapi masih memerlukan koordinasi yang lebih baik antara pihak berkaitan.
“Saya telah mengarahkan mereka untuk mempercepatkan segala proses yang masih tertangguh,” katanya ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke projek pembinaan Wisma Melayu, hari ini.
Mengenai aksesibiliti awam, beliau menyatakan bahawa terdapat kemungkinan sambungan Wisma Melayu dengan sistem pengangkutan Aliran Transit Automasi (ART) memandangkan lokasi ini berada berhampiran laluan utama pengangkutan awam.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa butiran lanjut mengenai sambungan ini masih perlu diperincikan.
Justeru, dengan baki 15 peratus kerja yang perlu diselesaikan, beliau berharap agar koordinasi yang lebih efektif dapat mempercepatkan proses penyiapan.
“Inilah realiti projek besar, yang memerlukan perancangan dan koordinasi rapi, saya minta mereka untuk mempercepatkan kerja-kerja yang masih tertangguh,” tambah beliau.
Wisma Melayu bakal menjadi pusat kebudayaan yang penting dengan kemudahan seperti dewan serbaguna, muzium, galeri, pejabat, kafe, serta surau yang akan menjadi mercu tanda baru bagi masyarakat Melayu.
Bangunan Wisma Melayu dengan reka bentuk menyerupai tengkolok, mula dibina pada 8 November 2022. – TVS