PUTRAJAYA, 28 Feb: Kebebasan dan kelonggaran untuk berhimpun yang diberikan oleh kerajaan tidak wajar dijadikan sebagai platform untuk menyebarkan kepalsuan, terutama berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi amaran keras kepada segelintir pihak agar tidak menggunakan ruang kebebasan itu bagi menipu dan memfitnah usaha kerajaan.
“Isu biarlah munasabah. Ini saya lihat berkaitan dengan pembangunan semula bandar. Kita (kerajaan) mahu membantu penghuni miskin yang majoritinya di kawasan Melayu.
“Kawasan-kawasan itu kita mahu bangunkan semula. Yang nak bantah, sebab apa? Kamu kata ini hak orang Melayu, tetapi sejak bila kamu memperjuangkannya? Sewaktu kamu menjadi kerajaan, tiada pun usaha untuk membangunkan kawasan orang miskin, termasuk di bandar.
“Kita nak usahakan, jadi saya nak bagi ingatan: jangan guna kebebasan ini untuk menipu dan memfitnah, apatah lagi atas nama Islam dan Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Peletakan Logo Malaysia Madani di Rangkaian Restoran Nasi Kandar Putrajaya (Singgah Madani) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan mereka yang membantah URA tidak pernah melihat kawasan-kawasan yang daif, khususnya di bandar, yang memerlukan pembangunan semula.
Anwar menjelaskan bahawa kerajaan tidak mahu pembangunan yang sedang berjalan di negara ini mengetepikan kedudukan rakyat miskin.
Sehubungan itu, kerajaan akan mengguna pakai URA untuk melaksanakan pembangunan semula di kawasan-kawasan terlibat.
Rabu lalu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Mohd. Hafez Sabri, dalam satu kenyataan berkata bahawa pihaknya merancang untuk mengadakan satu himpunan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan dan ketegasan terhadap URA. – TVS