KUCHING, 28 Feb: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa pihak bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan penyelenggaraan fasiliti serta persekitaran taman negara supaya berada dalam keadaan selamat dan terjaga.
Beliau menekankan kepentingan kebersihan dan keselamatan bagi memastikan imej Sarawak sebagai destinasi ekopelancongan kekal terpelihara.
“Sarawak bukan destinasi beli-belah tetapi daya tarikannya terletak pada alam semula jadi dan ekopelancongan. Dengan lebih 60 taman negara dan taman semula jadi, kemudahan seperti chalet, inap desa dan tandas perlu diselenggara dengan baik bagi memastikan keselesaan pelancong. Keselamatan juga penting. Kita tidak mahu pelancong mengalami kecederaan akibat kemudahan yang uzur atau tidak selamat.
“Pihak bertanggungjawab perlu memastikan taman-taman ini berada dalam keadaan terbaik untuk menarik lebih ramai pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 di sini hari ini.
Pada sidang media sama, Abdul Karim menjelaskan, pengurusan taman negara masih di bawah Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan belum dibuka kepada pihak swasta.
“Cara terbaik adalah menyerahkannya kepada pakar yang berpengalaman dalam pengurusan fasiliti pelancongan. Namun, setakat ini Kerajaan Sarawak masih mengekalkan tanggungjawab ini di bawah SFC.
“Jika SFC ingin mengurusnya sendiri, mereka perlu memastikan taman-taman ini diselenggara dengan baik,” ujarnya.
Karim turut mendedahkan kementeriannya kini sedang mempertimbangkan untuk meletakkan SFC di bawah kementerian beliau bagi memastikan pengurusan taman negara lebih tersusun dan selari dengan strategi pelancongan negeri.
Baru-baru ini, Abdul Karim meluahkan rasa kesal terhadap pihak pengurusan yang menyembunyikan masalah berkaitan kemudahan infrastruktur taman negara daripada kementerian.
Beliau turut menegaskan isu pencemaran sungai dan lambakan sampah di taman negara perlu ditangani segera kerana boleh menjejaskan imej Sarawak sebagai destinasi ekopelancongan utama.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi Sarawak Tourism Board (STB) Datuk Dennis Ngau serta Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datu Salleh Askor.-TVS