KOTA SAMARAHAN, 28 Feb: Faizzil Affandi dari Bahagian Miri dan Roziah Ayup (Bahagian Mukah) dinobatkan sebagai johan qari serta qariah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sarawak ke-64 yang melabuhkan tirai malam tadi.
Faizzil memperoleh markah tertinggi 92.75 peratus, mengatasi pencabar terdekatnya, Hadi Sharkawi dari Bahagian Kuching yang meraih 90.50 peratus manakala tempat ketiga disandang Nordin Putit juga dari Kuching dengan 89.50 peratus.
Sementara itu, Roziah Ayup yang mewakili Mukah memperoleh 91.50 peratus menewaskan naib Nurul Izzah Mukhali dari Miri (89 peratus) diikuti Eza Nurumaiza (Limbang) di tempat ketiga.
Sebagai johan, Faizzil dan Roziah masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej umrah, piala pusingan dan iringan serta sijil penghargaan.
Bagi Faizzil, kemenangan tersebut adalah hasil usaha bertahun-tahun yang akhirnya membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kepada Allah S.W.T kerana memberikan rezeki dan amanah sebesar ini.
“Saya memang terharu, saya tidak menjangkakan rezeki ini akan datang begini untuk saya kali ini setelah lapan kali saya masuk tilawah,” katanya dalam temu bual bersama-sama TVS.
Sementara itu, Roziah menyatakan kemenangan kali ini memberi makna yang mendalam kerana ia mengingatkannya kepada insan tersayang yang telah pergi.

“Saya sedikit rasa sebak, kerana sebelum ini saya berkongsi kegembiraan ini dengan arwah kakak saya… tapi beliau telah meninggal pada 2023.
“Mudah-mudahan pahala ayat Al-Quran yang saya baca ini mengalir kepad keluarga yang telah meninggal dunia. Ayah saya, kakak saya dan semua guru-guru saya,” ujarnya.
Dalam kategori hafazan pula, Muhammad Arif Muadzam dari Bahagian Kuching mengungguli kategori 1 hingga 30 juzuk sekali gus membawa pulang RM5,000.
Bagi kategori 1 hingga 20 juzuk, Muhammad Najdat Arsyad Madzalan dari Bintulu dinobatkan sebagai johan dan menerima RM4,000, manakala kategori 1 hingga 10 juzuk menyaksikan Azizul Azmin dari Kuching dan Khairunnadia Khalid dari Samarahan muncul juara masing-masing menerima RM3,000.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dalam majlis kemuncak yang berlangsung di Dewan Suarah Kota Samarahan.
Majlis tilawah dan hafazan tahun ini menyaksikan penyertaan 45 peserta dari seluruh Sarawak dan berlangsung selama empat hari bermula 24 Februari hingga 27 Februari.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Abu Bakar Marzuki dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.- TVS