Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama tetamu yang lain pada Majlis Tahun Baharu Cina Hi-Tea i-CATS University College di Kuching pada Jumaat. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Dr Sim tegaskan pendidikan di Sarawak perlu terapkan nilai dan identiti negeri

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 28 Feb: Institusi pendidikan di Sarawak perlu memastikan bahawa selain pencapaian akademik, nilai dan identiti Sarawak turut diterapkan dalam usaha membangunkan negeri dan negara.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, menegaskan bahawa Sarawak tidak mahu hanya dikenali kerana kekayaan dan pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga melalui ilmu, inovasi serta nilai-nilai yang mencerminkan jati diri rakyatnya.

“Kalau kita lihat Sarawak pada tahun 2015 dan bandingkan dengan 2025, banyak perubahan yang sudah berlaku. Menjelang 2030, kita akan lebih maju lagi.

“Dulu, orang mungkin memandang rendah kepada kita, tetapi kini mereka mula menoleh kepada Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Tahun Baharu Cina Hi-Tea i-CATS University College di sini, hari ini.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa kemajuan bukan sekadar soal ekonomi atau pembangunan teknologi semata-mata.

“Kita tidak mahu hanya dikenali kerana kekayaan. Apa gunanya kaya tetapi tiada nilai dan jati diri? Kita mahu dikenali sebagai negeri yang membangun dengan ilmu, inovasi serta nilai yang kukuh,” ujarnya.

Dr. Sim turut menekankan bahawa pendidikan tidak boleh hanya dilihat sebagai usaha untuk memperoleh kemahiran dan kelayakan akademik.

Sebaliknya, institusi pendidikan harus memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang memahami serta menghargai nilai-nilai yang telah menjadikan Sarawak sebuah negeri yang unik dan harmoni.

“Sarawak ini unik. Meskipun kita terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kita boleh hidup bersama dengan aman dan harmoni. Kita boleh duduk semeja, bekerja bersama, malah bersenam di gim bersama tanpa rasa janggal. Nilai inilah yang membezakan kita dengan tempat lain,” katanya lagi.

Beliau turut membandingkan Sarawak dengan Singapura, yang sering dijadikan contoh kejayaan, tetapi menurutnya masih bergelut dalam aspek sosial dan nilai masyarakat.

“Walaupun mereka (Singapura) kaya dan maju, ada sesuatu yang kurang. Mereka kehilangan sesuatu yang kita ada, iaitu nilai-nilai bersama yang mengikat masyarakat,” tambah beliau.

Dalam konteks pembangunan Sarawak, Dr. Sim turut menyatakan bahawa negeri ini harus menjadi peneraju dalam bidang teknologi, pendidikan serta tenaga hijau.

Beliau menambah bahawa potensi Sarawak dalam teknologi angkasa, pelancaran satelit, serta penyelesaian tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan sistem pengangkutan mampan sebagai contoh bagaimana negeri ini boleh berkembang dengan hala tuju yang jelas.

“Pembangunan kita bukan hanya tentang membina bangunan tinggi atau menarik pelaburan besar. Yang lebih penting adalah membangun dengan nilai dan identiti yang jelas.

“Kita mahu rakyat Sarawak bukan sekadar mengejar kekayaan, tetapi dihormati kerana ilmu, inovasi serta keperibadian mereka,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan