LIMBANG, 28 Feb: Seramai 121 peniaga telah mendaftar untuk menyertai Bazar Ramadan Limbang 2025.
Ia bakal berlangsung di tiga lokasi utama, iaitu kawasan parkir Lot 777, Padang Sentral serta kawasan parkir di hadapan Bank Rakyat dan KFC Limbang.
Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL), Kr Sufian Mohat, berkata pihaknya telah membuat persiapan rapi sejak sebulan lalu menerusi Jawatankuasa Bazar Ramadan 2025 yang dipengerusikan oleh Kr Abdul Rahman Tamit.
Sufian turut memaklumkan bahawa penganjuran bazar pada tahun ini mendapat sokongan Timbalan Menteri Industri Makanan, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.
Beliau telah menyalurkan dana sebanyak RM50,000 bagi membantu kelancaran program tersebut.
Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu turut dijadual merasmikan bazar berkenaan pada 7 Mac depan.
“Tahun ini, bazar akan menawarkan pelbagai jenis jualan, termasuk makanan berasap dan bermasak, kuih-muih, minuman, kek, biskut serta pakaian.
“Selain itu, terdapat empat lot khas yang disediakan untuk peniaga jemputan dari luar yang berminat untuk berniaga di Limbang,” katanya pada sidang media semalam.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan bahawa tapak Tamu Khamis dan Jumaat akan dipindahkan ke kawasan berjubin di belakang Bangunan Soon Seng Bangkita mulai 6 Mac depan.
“Tapak baharu ini mampu menampung antara 250 hingga 400 peniaga dalam satu masa, dan menyediakan 160 lot parkir kepada orang awam.
“Dengan pemindahan ini, diharap keselesaan peniaga dan pengunjung akan bertambah baik, di samping menangani isu kekurangan tempat letak kenderaan di bandar Limbang,” jelasnya lagi.
MDL turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai serta pengamal media untuk memeriahkan Majlis Perasmian Bazar Ramadan Limbang 2025 pada 7 Mac nanti.-TVS