SANDAKAN, 28 Feb: Asisten Komisioner Polis (ACP) Ahsmon Bajah menerima tugas sebagai Ketua Polis Daerah Sandakan yang baharu menggantikan ACP Abdul Fuad Abdul Malek.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden Ramasamy Kuppan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan majlis serah terima tugas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan itu disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Shahurinain Jais.
“Abdul Fuad bertukar jawatan sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KJDNKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dengan kenaikan pangkat kepada Pemangku Senior Asisten Komisioner Polis (P/SAC).
“Dalam ucapan dan amanat yang disampaikan oleh DCP Datuk Shahurinain Jais, beliau mengucapkan setinggi- tinggi tahniah di atas perlantikan kenaikan Abdul Fuad dan syabas kepada Ahsmon Bajah kerana akan menerajui kepimpinan PDRM Sandakan selepas ini,” katanya.
Beliau menekankan jawatan yang diamanahkan adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebaik- baiknya dan lebih cemerlang bagi melonjakkan nama PDRM khususnya di Sabah.
Majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Sandakan turut diadakan yang menyaksikan Fauziah Nor Mohd Ali menyerahkan jawatan pengerusi persatuan tersebut kepada Emmy Suin.
Terdahulu, Ahsmon merupakan Ketua Polis Daerah Kuching sebelum digantikan oleh ACP Mohamad Farhan Lee Abdullah pada 12 Ogos yang lalu.-TVS