KUCHING, 27 Feb: Sebanyak RM46.8 juta diperuntukkan bagi geran acara pelancongan untuk menyokong 248 acara dan festival di seluruh Sarawak pada tahun lepas.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata peruntukan ini termasuk bagi penganjuran acara popular seperti Karnival Jom Heboh-Segulai Sejalai, Festival Muzik Hutan Hujan Dunia 2024, dan banyak lagi.
“Tahun lalu, sebanyak RM9.81 juta juga disalurkan di bawah Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak untuk 134 program seni, budaya dan warisan.
“Inisiatif ini merangkumi seni kreatif, kraf tangan, gastronomi dan pemeliharaan warisan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Sarawak (STSC) 2025 di sini, pagi tadi.
Abdul Karim turut mengiktiraf peranan Majlis Kraf Tangan Sarawak dalam pembangunan industri kraf tangan tempatan yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2025.
Selain itu, Business Events Sarawak (BESarawak) berjaya menganjurkan 111 acara dengan impak ekonomi RM313.6 juta, termasuk RM170.4 juta dari perbelanjaan yang dikeluarkan oleh 38,248 peserta.
“Tahun lalu, Sarawak mencatatkan rekod dengan 124 acara perniagaan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, yang menghasilkan RM375.2 juta, termasuk RM204 juta dari 45,758 delegasi.
“Semua acara ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS2030),” jelasnya.
Di samping itu, katanya, selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang semakin dekat, dan peningkatan sektor pelancongan negara yang kukuh, Sarawak dijangka menerima limpahan ekonomi positif.
Abdul Karim berkata manfaat itu bakal dinikmati melalui kempen yang sedang berjalan, usaha pemasaran awal, dan pelaburan infrastruktur.
“Pendapatan pelancongan asing dijangka mencecah RM12.73 bilion pada 2025, dan RM13.12 bilion pada 2026.
“Dengan pelaburan strategik, kempen pemasaran dan fokus terhadap kelestarian serta warisan budaya, Sarawak berada di landasan tepat untuk menjadi kuasa pelancongan global menjelang 2030,” katanya.-TVS